Pameran solo ketiga Anniketyni Madian berjudul Susey yang ditunggu-tunggu menampilkan 15 buah arca diperbuat daripada kayu dan resin yang terdiri daripada sepuluh arca dinding dan lima arca bebas. Salah satu hasil kerja utama ditampilkan melalui sebuah arca dinding sebesar 8 kaki tinggi dan 18 kaki lebar (2.4 meter kali 5.5 meter) yang berjudul Legenda Puteri Santubong, terbesar pernah dihasilkan oleh karyawan tersebut.
Tajuk Susey berasal daripada dialek Sarawak yang bermaksud ‘bercerita’ bakal dipamerkan bermula 27 Januari 2023 sehingga 27 Februari 2023 di Sime Darby Property Gallery, KLGCC, Kuala Lumpur.
“Saya meluangkan masa selama dua tahun mempersiapkan Susey. Proses timbang tara bermula lewat 2019. Kemudian, COVID-19 melanda dan hanya ketika pandemik itulah segala proses penghasilan idea menjadi nyata. Saya sengaja mengambil masa merangka dan mengembangkan pendekatan kerana saya ingin mempelajari bahan baharu dan mengkaji teknik dan peralatan baharu dalam usaha menghasilkan sesuatu yang berlainan.
Setelah saya yakin dengan proses rekaan serta peringkat penyelidikan dan pembangunan pun selesai, saya turuti dengan peringkat penghasilan yang mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan dengan bantuan sekumpulan pembantu yang gigih. Ini semestinya masa terpanjang yang pernah saya luangkan dalam mempersiapkan pameran solo ini,” ujar Anniketyni.
Diinspirasikan daripada kisah klasik tempatan negeri Sarawak – seperti hikayat Mesiong (Melanau); Dendam Sang Buaya; Dang Isah Tandang Sari; kisah Dayang Laing dan Bintang Tujuh (Iban); Siak Magimang dan Dasan Maganda (Bidayuh); cerita Simpulang Gana (Iban); Kaleng dan Kumang Ruwai (Bidayuh); riwayat Dayung Jenai (Bidayuh); Mambang Muring (Bidayuh); begitu juga dengan legenda Puteri Santubong – seluruh hasil kerja Anniketyni adalah satu cerminan identiti dalam bentuk naratif sejarah dan mistik yang dilisankan semula melalui kecekapan teknikal beliau dalam mencipta arca yang inovatif.
Kesemua kisah diberi bentuk penceritaan visual – kepingan kecil kayu dan resin disusun secara indah nian membentuk satu susun suai yang gah. Cerita rakyat yang diturunkan dari generasi ke generasi melalui penceritaan lisan diabadikan dalam bentuk nyata menggunakan kepingan-kepingan berbentuk dan bercorak geometri. Setiap kisah diwakili oleh satu lambang ikonik yang menggambarkan protagonis utama dalam kisah tersebut.
Si penukang
Anniketyni menampilkan diri sebagai seorang pengarca wanita muda yang berpotensi jauh dalam arena seni visual setelah bergelar graduan Sarjana Muda (Kepujian) dalam Pengajian Seni Halus, pengkhususan dalam seni arca dari UiTM Shah Alam, Selangor pada 2009. Minat beliau dalam pertukangan kayu telah menyerlahkan perspektif baharu dalam bidang seni terutamanya dalam kalangan karyawan wanita Malaysia.
Pendekatan unik beliau dalam ukiran kayu kontemporari, gerak kerja asemblaj, serta penggunaan bahan-bahan tradisional dan moden secara inovatif dalam menghasilkan arca dinding dan bebas menyerlahkan lagi gaya tersendiri beliau berbanding karyawan-karyawan lain dalam dunia seni Malaysia.
Selain daripada kepakaran teknikal, kebolehan beliau dalam mengkonsepsikan rekaan dan menghubungkaitkan naratif peribadi ke dalam hasil kerja beliau yang sofistikated meningkatkan lagi status ukiran kayu sebagai kraf tradisional dan memecahkan tanggapan bahawa golongan pembuat kraf seperti ini hanya tertumpu pada satu jantina sahaja.
Lebih sedekad lamanya beliau menunjukkan kekuatan fizikal, emosi, dan mental dalam penghasilan arca-arca yang gah dan bernilai tinggi untuk para pengumpul seni tempatan mahupun antarabangsa, individu persendirian mahupun korporat.
Kesukaran proses mereka, membentuk, menghasil, membina, memasang, dan menyiapkan setiap arca bukan sahaja mengambil masa yang lama dan tenaga kerja yang banyak, tetapi ia turut memerlukan ketabahan fizikal, begitu juga dengan ketahanan psikologi dan emosi.
Di samping mendepani permintaan kerja seni, seperti juga wanita berkarier yang lain, Anniketyni turut menguruskan masa beliau untuk urusan peribadi: iaitu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu kepada seorang anak.
“Sepanjang proses ini, saya telah dua kali mengalami kelesuan upaya, membuatkan saya terpaksa menangguhkan kerja dan sebaliknya, meluangkan masa melancong bersama keluarga. Awal tahun ini (2022), kami berpeluang melawat galeri-galeri seni sekitar London dan menghadiri acara seni seperti Art Dubai dan Art Basel. Pengalaman tersebut menyegarkan saya dan saya dapat kembali fokus dan mengekalkan momentum,” jelas Anniketyni.
Pada 2021, Anniketyni terlibat dalam pameran sulung Indian Ocean Craft Triennial di Perth, Australia. Selaku ketua karyawan yang terpilih untuk pameran tersebut, beliau telah mempamerkan 15 arca dinding di Galeri John Curtin di samping para karyawan ternama antarabangsa. Beliau ialah salah seorang daripada dua karyawan Malaysia yang menerima jemputan ke pameran di Triennial, seorang lagi ialah Yee-I-Lann dari Sabah. Dengan sokongan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA), Anniketyni telah diberi peluang untuk mempersembahkan karya seni beliau di sana meski sekatan sempadan antarabangsa masih ketat berikutan pandemik.
Estetika visual
Hasil kerja Anniketyni terdiri daripada arca dinding dalam pelbagai bentuk modular sebagai asas: bulat, segi empat sama dan tepat, organik dan/atau geometri berserta kepingan-kepingan kayu tiga dimensi dalam pelbagai motif, bentuk, dan saiz.
Hasilnya adalah kerja kayu dalam pelbagai saiz dan dimensi yang mengagumkan. Beliau kini telah beralih daripada sekadar penghasilan arca-arca kayu berupa dua dimensi kepada arca-arca yang mencantumkan efek tiga dimensi.
Sebagai seorang anak jati Sarawak, Anniketyni menghasilkan arca-arca cantuman diinspirasikan oleh tenunan Pua Kumbu yang merupakan fabrik kapas tradisi, ditenun oleh para wanita di Sarawak. Fabrik Pua Kumbu yang bercorak indah nian dianggap suci dan signifikan dengan amalan kehidupan dan acara istimewa suku kaum Iban seperti kelahiran bayi, sambutan menjengah kedewasaan, sebagai tanda penerimaan sesuatu barang ke dalam rumah panjang, dan sebagai hamparan tubuh mayat sebelum dikebumikan.
Menenun tesktil Pua Kumbu itu sendiri bersifat spiritual kerana melibatkan usaha sama sosial dan keagamaan. Dalam masyarakat yang menekankan peranan khusus berdasarkan jantina dan di mana kerohanian berkait rapat dengan setiap aspek kehidupan secara intrinsik, ia merupakan aktiviti suci yang wajib ke atas para wanita Iban dan perbuatan menenun ini memupuk kewanitaan dan nilai diri. Hanya dengan itu, penenun dianggap telah berbakti kepada pemupukan rohani yang merupakan nilai piawaian tradisi dan keagamaan kaum mereka.
Seperti mana penenun, peranan Anniketyni sebagai seorang pengarca wanita turut melangkau lebih jauh. Komitmen beliau terhadap bahan-bahan, proses yang terperinci lagi rumit, dan disiplin kerja adalah suci.
Dalam menerangkan pendekatan beliau: “Saya bermula dengan lakaran bebas yang menarik kerana ia adalah bahagian penting dalam proses kerja saya, Gagal merancang, dan anda merancang kegagalan setiap arca. Lakaran-lakaran tersebut bertindak sebagai pelan di mana corak Pua Kumbu dalam dua dimensi akan diterjemahkan ke tiga dimensi, dan dalam proses itu, mengembangkan lagi sisi, kedalaman, dan perspektifnya. Setiap potongan kayu dan resin dibuat secara terperinci dan beberapa bentuk dan bucu dipotong rapi. Setiap potongan hendaklah sempurna supaya boleh muat dengan baik dan akan memudahkan pemasangan arca secara lancar untuk mencapai estetika akhir.
Ketegasan saya dalam menghasilkan sendiri keseluruhan arca membentuk satu jalinan antara diri saya dan arca-arca saya. Jalinan ini jelas terbukti dalam kemajuan yang saya capai secara teknikal dan konsepsi daripada setiap kepingan. Arca-arca saya ibarat satu letusan awal dalam pertukangan kayu. Setiap ukiran kayu baharu jelas terpampang dengan kepelbagaian warna yang menarik disusuli lapisan penggilap yang disadur pada setiap kepingan. Ia memberikan satu semangat dedikasi terhadap arca saya dan kebolehan yang indah untuk bercerita akan budaya dan tradisi dalam bahasa generasi baru.”
Sebelum ini, beliau selesa bekerja solo, tetapi untuk merealisasikan hasrat agung untuk Susey, beliau telah menyatukan sekumpulan empat orang pembantu produksi untuk mencapai objektif beliau secara strategik.
Kisah orang asal
Untuk karya berjudul Kisah Mesiong (Melanau), ia menceritakan tentang Mesiong dari Oya, seorang petani dan ketua keluarga yang berdepan masalah tanamannya dirosakkan sekumpulan babi hutan. Berang dengan kemusnahan tersebut, Mesiong berikrar untuk menghapuskan petualang menggunakan lembing milik ayah mentuanya yang telah meminjamkan lembing tersebut kepada Mesiong atas syarat dia mesti memulangkan lembing tersebut dalam keadaan asal tanpa kerosakan atau hidupnya akan terancam.
Meskipun begitu syaratnya, Mesiong tetap bersetuju meminjam lembing tersebut. Keesokan harinya, Mesiong menyerang salah seekor babi hutan dengan lembing tersebut yang kemudian tercacak pada rusuk babi itu. Dia mengejar babi yang cedera itu untuk mendapatkan semula lembing milik ayah mentuanya, tetapi siang berganti malam dan babi hutan itu tidak dapat dikesan lagi.
Mesiong meneruskan misinya untuk mencari lembing pada pagi berikutnya dengan menjejaki laluan darah babi yang menitis yang kemudian menemukan dia dengan sebuah kampung jauh nun di dalam hutan. Dia telah disambut oleh sekumpulan kanak yang sedang bermain. Mesiong tidak pernah tahu wujudnya sebuah kampung di dalam hutan yang penuh dengan kanak-kanak dan terkejut dengan penemuan tersebut.
Sekumpulan kanak tersebut yang turut terkejut dengan kehadiran Mesiong ingin menyerangnya, tetapi salah seorang daripada mereka menegah dan sebaliknya membawa Mesiong menghadap raja kampung tersebut.
Selepas dibawa menghadap raja yang kemudian memohon bantuan Mesiong untuk merawat puterinya yang gering, Mesiong berasa seperti ada sesuatu yang tidak kena, tetapi mengabaikannya. Dia kemudian melihat keadaan puteri raja yang tertusuk dek lembing menembusi rusuknya. Lantas dia tersedar bahawa orang-orang kampung inilah sebenarnya babi-babi hutan jadian yang telah merosakkan tanamannya.
Pelik kerana orang kampung yang lain tidak sedar akan kecederaan yang dialami oleh puteri mereka, Mesiong kemudian memberitahu raja bahawa satu-satunya cara untuk merawat puteri adalah dengan memberikan dia ruang dan membekalkan bahan semula jadi seperti kunyit dan serai. Jika puteri menjerit kesakitan, mereka tidak boleh masuk campur mengganggu dan perlu membiarkan Mesiong menamatkan rawatan secara bersendiri. Raja tersebut pun bersetuju.
Akhirnya Mesiong berjaya mendapatkan semula lembing ayah mentuanya dan selang beberapa hari, puteri raja turut sembuh. Sebagai balasan, raja tersebut menawarkan Mesiong untuk berkahwin dengan anaknya. Mesiong dengan hormat menolak tawaran itu dengan mengatakan bahawa dia sudah pun berkahwin. Namun, raja berjaya mendesak dan Mesiong pun berkahwin dengan babi hutan.
Setelah beberapa ketika, Mesiong berjaya meyakinkan isteri barunya dan juga raja bahawa dia perlu pulang ke rumah asalnya. Isteri barunya mengingatkan Mesiong akan beberapa pantang larang yang terpaksa dituruti sepanjang perjalanan pulang. Pertama, jika Mesiong terjumpa penjual babi pulut, dia hendaklah membelinya, tetapi tidak boleh berkongsi dengan orang lain. Dia perlu melapah bahagian perut untuk menemukan sesuatu berharga kelak.
Kedua, Mesiong dilarang untuk buang air kecil di atas kayu atau tempat kering. Oleh kerana dia gagal mencari tempat berair atau kawasan berlumpur ketika dalam perjalanan, Mesiong telah membuang air kecil di tempat kering. Selepas itu, dia telah kehilangan arah dan kemudian tersesat di dalam hutan tebal.
Selepas berjaya mencari haluan yang betul, Mesiong akhirnya selamat pulang ke rumah dan berasa gembira dapat bersatu semula bersama keluarganya yang telah lama risau akan kehilangannya. Tidak lama selepas itu, Mesiong telah pergi membeli babi pulut dan melapah perut babi tersebut untuk menemukan selonggok emas. Dia kemudiannya hidup mewah selepas peristiwa itu.
Ancaman reptilia
Untuk karya berjudul Dendam Sang Buaya, Anniketyni mendapatkan ilham daripada kisah Bujang Senang, buaya terbesar yang pernah ditangkap di Sarawak pada tahun 1992 yang berukuran 5.88 meter panjang dan seberat lebih satu tan.
Bujang Senang merupakan buaya daripada spesis Crocodylus porosus dan mendiami Sungai Batang Lupar sejak tahun 1941. Bujang Senang dipercayai merupakan jadian seorang pahlawan Iban bernama Simalungun.
Kepayahan yang dialami oleh penduduk setempat Kampung Sungai Samarahan di Kuching, Sarawak dan kampung-kampung lain sekitar Batang Samarahan tidak sama seperti penduduk bandar.
Sebagai contoh, isu-isu biasa dihadapi oleh penduduk Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang ialah seperti hujan lebat yang mengakibatkan banjir kilat dan kesesakan jalan raya; catuan bekalan air di sesetengah tempat; atau kenaikan harga daging dan telur ayam – tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan ancaman nyawa dan risiko bahaya hidup di samping buaya-buaya pemakan manusia yang mendiami sungai-sungai utama di Sarawak. Menjadi satu kelaziman untuk mendengar berita bahawa kanak-kanak, para wanita, dan kaum lelaki menjadi mangsa reptilia ini.
Dendam Sang Buaya mengisahkan tentang peristiwa sebuah kampung berdekatan Sungai Samarahan yang menyambut satu perayaan khas. Orang tempatan bergembira menyertai persembahan tradisional Bertandak, Bergendang dan Bermukun selama lima malam berturut-turut.
Sambutan perayaan tersebut telah menarik perhatian tujuh beradik untuk ke kampung tersebut. Bakat bermain alatan muzik dan menyanyi mereka telah memukau para gadis dan wanita tempatan. Dek kerana iri hati dengan tumpuan yang diterima oleh tetamu yang tidak diundang ini, sekumpulan lelaki tempatan telah melakukan provokasi terhadap tujuh beradik tersebut pada malam ketiga, tetapi tidak diendahkan.
Lelaki-lelaki tempatan tersebut secara senyap mengekori tujuh beradik ini sehingga mereka tiba di tebing sungai, tetapi terkejut kerana mendapati tujuh beradik itu telah hilang dalam kepekatan malam secara tiba-tiba. Oleh kerana masih tidak berpuas hati, lelaki-lelaki tempatan ini telah merancang untuk menyerang tujuh beradik tersebut pada malam berikutnya. Mereka menyorok di sebalik pokok di tebing sungai dan menunggu ketibaan tujuh beradik ini. Tidak lama kemudian, dengan rasa takjub, tujuh ekor buaya muncul di jeti lantas menjelma menjadi manusia.
Setiap seorang mereka menyarung seutas rantai dengan sebatang gigi buaya sebagai buah rantai. Sebagai langkah untuk menyertai penduduk tempatan, mereka menanggalkan rantai masing-masing dan meletakkan ia pada setiap pokok berlainan. Tujuh beradik ini kemudian berlangsung menyertai perayaan yang sedang berlangsung. Setiap gerak-geri mereka teliti diperhatikan sekumpulan lelaki tempatan tadi.
Pada penghujung malam, kumpulan lelaki tempatan tadi menunggu semula di tebing sungai, memusnahkan rantai gigi buaya, dan menyerang tujuh beradik tadi. Enam daripada mereka berjaya bertukar menjadi buaya semula dan lari masuk ke dalam sungai, tinggal seorang yang telah cedera parah. Dia kemudiannya mati di depan mata enam adik-beradiknya yang lain yang hanya mampu melihat dari dalam sungai dari kejauhan.
Maka sejak malam itulah dipercayai bahawa sumpahan terhadap manusia bermula. Penduduk tempatan yakin bahawa buaya-buaya yang mendiami Sungai Samarahan hanya menyasarkan ahli keluarga dan sanak saudara sekumpulan lelaki tempatan yang telah membunuh adik ketujuh mereka.
Tentang kecantikan, keghairahan, dan keinginan
Dalam Dang Isah Tandang Sari, Anniketyni menggabungkan motif-motif yang mewakili cerita rakyat berkisarkan seorang wanita muda bernama Dang Isah yang memiliki tujuh helai rambut pelbagai warna: armada kapal sebagai simbol perkahwinan seorang pelayar bernama Nakhoda Khar yang telah berkahwin dengan Dang Isah dengan hantaran 10 kati (bersamaan enam kilogram) emas; sebilah keris mistik bergelar Gempetar Alam menggambarkan ayahnya Datu Temenggong Kadir; sebuah istana yang mencerminkan taraf sosial ayahnya, dan seorang lelaki lain yang mencintai Dang Isah bernama Awang Bunut. Cinta tiga segi ini berakhir dengan tragis dan makam Dang Isah masih elok terpelihara di Kampung Kalok, Pusa.
Dayang Laing dan Bintang Tujuh (Iban) pula menceritakan tentang seorang perawan yang lahir dari sebuah batu besar dipanggil Tengkulas Batu Mas. Wanita ini melahirkan tujuh orang anak perempuan bersama Bunsu Ribut (dewa angin), tetapi penyatuan mereka berdua tidak direstui Tuhan. Sebagai hukuman, ketujuh-tujuh anak perempuan mereka diangkat naik ke langit. Seperti mana mitologi Yunani, mereka dikenali sebagai Gugusan Bintang Tujuh Beradik atau Pleiades. Untuk meredakan Tuhan, Dayang Laing dan Bunsu Ribut berpisah. Sementara itu, ada seorang anak Tuhan bernama Abu Tinggang memanjat sebatang pokok kelapa untuk menghilangkan dahaga. Dari situ, dia ternampak sebuah pondok di kejauhan dan kemudian mendekatinya kerana ingin tahu. Dia kemudian menjumpai sebuah tempayan besar dan setelah membuka tudungnya, menjumpai seorang wanita cantik di dalamnya. Wanita tersebut ialah tidak lain tidak bukan ialah Dayang Laing yang ketika itu sedang bersembunyi dari seekor Garuda. Terpana dengan kecantikan Dayang Laing, Abu Tinggang kemudian melamarnya dan dia bersetuju. Mereka kemudiannya hidup bahagia.
Dalam Kaleng dan Kumang Ruwai (Bidayuh), motif seperti burung merak melambangkan kecantikan dan nasib Kumang Ruwai; dan ikan sebagai simbolik nasib malang yang menimpanya tatkala masih bayi yang baru lahir. Kisah jalinan kasih ini menceritakan tentang seorang lelaki muda tampan bernama Kaleng yang berjaya menangkap seekor buruk merak bersuara merdu untuk dijadikan haiwan belaan. Tanpa disedarinya, burung merak ini bertukar kepada Kumang Ruwai pada waktu malam yang kemudian menyelinap masuk ke dalam rumah untuk menjamah makanan dan daun pinang. Namun Kaleng mendapat tahu yang burung merak peliharaannya adalah seorang wanita cantik dan telah melamarnya. Dia kemudian membawa pulang Kumang Ruwai ke kampung halaman dan keluarganya mengadakan sambutan majlis kahwin besar-besaran atas penyatuan mereka berdua.
Untuk karya berjudul Simpulang Gana (Iban), ia merujuk kepada kisah Tuhan pertanian kaum Iban. Raja Simpulang Gana ialah anak ketujuh Raja Jembu – yang merupakan anak kepada dewa berkuasa bernama Raja Durong – dan isterinya, Endu Kumang Baku Pelimbang. Mereka merupakan pasangan penjaga kepada tangkal yang boleh mengurniakan makanan dan kekayaan. Raja Jembu dan pasangannya mempunyai tujuh orang anak dan anak bongsu mereka, Raja Simpulang Gana, menjadi Tuhan pertanian dan pemilik Bumi ini.
Karya agung Anniketyni pula berjudul Legenda Puteri Santubong memperincikan karakter negeri Sarawak Bumi Kenyalang: daripada kisah legenda dua puteri, Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang; kesan rerama pentadbiran Rajah Brooke; buaya-buaya yang mendiami sungai; rumah panjang orang asal, sehinggalah ke motif flora dan fauna seperti Buah Gelung dan Paku Pakis dalam corak Pua Kumbu, dan motif abstrak pada perisai pahlawan Iban dipanggil terabai. Sebagai satu cerminan terhadap identiti orang Sarawak sepertinya, karya ini penuh dengan mesej-mesej intrinsik yang ketara dalam penghasilan kerja tangan Anniketyni.
Anniketyni turut memaparkan kisah rakyat suku kaum Bidayuh seperti Siak Magimang dan Dasan Maganda; kisah Dayung Jenai; dan Mambang Muring.
Arca bebas beliau yang berjudul Kisah Sultan Borhan (Melayu); Sarah dan Sanung (Bidayuh); Dasi dan Nian (Bidayuh); Nek Abab (Cerita Melayu Sarawak); dan Tum Betema dan Belawai (Melanau) ialah struktur lajur segi empat sama tiga dimensi diperbuat daripada kayu dan resin. Rekaan beliau kali ini yang ditambah baik adalah lebih kompleks dan bakal merangsang visual pengunjung jika dibandingkan dengan penampilan arca lajur yang dihasilkan untuk pameran solo kedua beliau, Bejampong (istilah Iban untuk ‘berbilang’ dan ‘pelbagai’) pada tahun 2017.
Ia adalah suatu kepuasan menyaksikan pencapaian Anniketyni hari ini berdasarkan perkembangan artistik dan teknikal beliau dalam tempoh lima tahun ini. Potensi untuk terus berkembang kini milik Anniketyni Madian. Berbekalkan kecemerlangannya dalam kerja-kerja pertukangan dan asemblaj yang kukuh, beliau kini telah menetapkan penanda aras tinggi terhadap para karyawan wanita Malaysia lain yang sedang menempa nama.
Sarah Abu Bakar
30 September 2022